'Bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, digantung!!'


PERBICARAAN kes pengubahan wang haram membabitkan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), isterinya dan dua bekas Timbalan Pengarah jabatan sama yang sepatutnya bersambung hari ini hingga Khamis ini, digantung.
Ia dibuat selepas Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat, membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman yang meminta agar perbicaraan itu digantung sehingga kes rayuan seorang tertuduh, Teo Chee Kong di Mahkamah Rayuan selesai.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu yang membenarkan perbicaraan bagi Teo digantung sehingga rayuannya berhubung beberapa perkara berkaitan kesnya diputuskan mahkamah berkenaan.
Tengku Amir Zaki berkata, walaupun penggantungan yang dibuat Mahkamah Rayuan itu hanya membabitkan seorang tertuduh, perbicaraan tiga tertuduh lain juga perlu digantung kerana semua tertuduh menggunakan saksi yang sama.
Permohonannya turut dipersetujui peguam Marcel Jude yang mewakili tertuduh pertama dan kedua, iaitu bekas Pengarah JANS, Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 55, dan isterinya, Fauziah Piut, 51, serta Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 63.
Selain perbicaraan minggu ini, mahkamah turut menggantung perbicaraan yang dijadualkan pada 4 hingga 7 Jun depan.
Bagaimanapun, tarikh perbicaraan yang ditetapkan 30 Julai hingga 2 Ogos, 3 hingga 6 September, 18 hingga 20 September, 1 hingga 4 Oktober dan 22 hingga 25 Oktober dikekalkan.
Pada prosiding hari ini, hakim turut menetapkan tarikh perbicaraan seterusnya iaitu pada 12 hingga 15 November, 26 hingga 29 November dan 10 hingga 13 Disember depan.
Sementara itu, Abu Bakar memerintahkan Roland Cheng yang mengetuai peguam pembelaan Teo untuk mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi berhubung permohonan mereka untuk mendapatkan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak pendakwaan.
Abu Bakar berkata, beliau tiada kuasa membuat keputusan berkaitan perkara itu kerana sepatutnya ia boleh diminta terus daripada pihak pendakwaan atau dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi jika pihak pendakwaan enggan bekerjasama.
“Saya hanya boleh membuat keputusan berhubung permohonan berkaitan perintah melapor diri tertuduh di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada seminggu sekali kepada sebulan sekali,” katanya.
Pada 29 Disember 2016, Awang Mohd Tahir, Fauziah dan Lim mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM61.57 juta, manakala Teo, 53, pada 13 Disember lalu mengaku tidak bersalah terhadap 146 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram bernilai RM32.923 juta.
Semua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) dan Seksyen 4 (1) (b) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Sumber - HMetro
'Bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, digantung!!' 'Bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, digantung!!' Reviewed by Beruang Viral on 2:26:00 PTG Rating: 5

Tiada ulasan:

Ad Home

Loading...
Dikuasakan oleh Blogger.